Sunday, 23 March 2014

Kerjasama Industri air Puncak Niaga - syarikat Thailand (Article)

Kerjasama Industri air Puncak Niaga - syarikat Thailand


DALAM usaha mengukuhkan kerjasama dalam industri air dengan negara jiran, Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Metropolitan Waterworks Authority (MWA) yang berpangkalan di Thailand.
MoU berkenaan disempurnakan Pengerusi Eksekutif PNHB, Tan Sri Rozali Ismail, manakala MWA pula diwakili Gabenor Thanasak Watanathana.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Bahagian Pembangunan Perniagaan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Datuk Nasir Khan Illadad Khan dan Pengarah PNHB yang juga Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Datuk Lee Miang Koi.
Puncak Niaga dalam satu kenyataan media berkata,rasional pemeteraian MoU itu supaya PNHB dan MWA saling bekerjasama dan berganding bahu dalam satu Program Pertukaran untuk menjalankan pelbagai aktiviti kerjasama yang berkaitan bagi manafaat bersama.

           
Menurutnya, program pertukaran itu juga bagi memperkukuhkan hubungan kedua-dua pihak yang akan membabitkan pelbagai latihan interaksi dan teknikal, disusuli dengan program kebudayaan dan sukan.
“Program latihan interaksi dan teknikal akan melibatkan interaksi dan perkongsian ilmu di kalangan kakitangan kedua-dua pihak bagi memaksimakan kemahiran, pengalaman, pengetahuan dan kepakaran teknologi masing-masing,” katanya.
PNHB sebuah konglomerat berprestij di Malaysia yang mana anak syarikatnya, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd diiktiraf sebagai pakar air Malaysia kerana keunggulannya mengendalikan, mengurus dan menyelenggara 29 loji pembersihan air yang beroperasi di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, manakala SYABAS pula berperanan mengagih bekalan air bersih kepada kira-kira 7.5 juta pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sementara itu, MWA pula adalah agensi kerajaan Thai yang ditubuhkan pada 1967 untuk tujuan mengeksplorasi sumber air, menghasilkan bekalan air bersih yang berkualiti, mengagihkannya ke kawasan sekitar Bangkok, Nonthaburi dan Samuntparkan, mengurus dan melaksanakan operasi MWA bagi faedah penduduk dan negara itu.
MoU tersebut dipersetujui untuk dilaksanakan dengan pelbagai kegiatan bermanafaat bagi kedua-dua pihak selama tiga tahun bermula pada 16 Januari 2014 dan dijangka tamat pada 15 Januari 2017.

No comments:

Post a Comment